Islamic Widget



Tuesday 12 April 2011

ENAM MENGUMPAT YANG DIHARUSKAN


Dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din, setelah Imam al-Ghazali membicarakan secara panjang lebar berkenaan larangan dan sebab-sebab manusia mengumpat. Dinyatakan juga enam keuzuran (situasi) yang mengharuskan mengumpat, iaitu:
1.       Mengadu KEZALIMAN dan PENGKHIANATAN yang berlaku.

2.       Meminta pertolongan untuk MENGUBAH KEMUNGKARAN yang berlaku, maka didedahkan kemungkaran tersebut. (Bahkan ada kalanya pendedahan ini menjadi wajib apabila kemungkaran yang berlaku melibatkan ancaman kepada aqidah dan masa depan generasi akan datang)

3.       MEMINTA FATWA daripada mufti seperti isteri menceritakan perbuatan jahat suami atau sebaliknya, berdasarkan aduan isteri Abu Sufyan kepada Rasulullah s.a.w. tentang suaminya yang kedekut.

4.       MENYELAMATKAN SAUDARANYA DARIPADA KEJAHATAN SESEORANG seperti mendedahkan kejahatan seorang hamba yang bakal dibeli (dalam konteks situasi semasa ialah pekerja) dan seseorang yang ingin diserahkan amanah kepadanya. Demikian juga seseorang yang ditanya tentang perempuan atau lelaki yang bakal dikahwini, maka harus mendedahkan keburukannya sekiranya ada. Terdapat tiga golongan manusia yang seandainya diceritakan keburukan mereka maka ia tidak dikira mengumpat, iaitu pemimpin yang zalim, ahli bidaah dan seorang yang terang-terangan melakukan kefasiqan.

5.       MEMPERKENALKAN SESEORANG YANG MEMANG TERKENAL DENGAN GELARAN TERTENTU. Atau hanya dikenali apabila disebut sifat cacatnya seperti tempang, buta dan sebagainya.

6.       SESEORANG YANG TERANG-TERANGAN MELAKUKAN KEFASIQAN seperti lelaki atau perempuan yang mengubah jantinanya, peminum arak, penzina dan sebagainya. Tetapi jika melakukannya secara bersembunyi, maka tidak harus menyebut tentang mereka.

Walau bagaimanapun, enam situasi ini mestilah dikawal dengan kaedah “al-dararu tuqaddaru bi qadariha” yang bermaksud, setiap perkara darurat hanya mengharuskan sesuatu yang dilarang sekadar yang diperlukan untuk mengatasi darurat itu sahaja. Ini bermakna sekiranya tidak disebut nama seseorang, maka itu lebuh baik. Tetapi sekiranya tidak disebut secara khusus menyebabkan situasi tersebut tidak dapat diatasi atau diselesaikan, maka bolehlah disebut nama. Perbuatan itu masih dikira mengumpat, tetapi hukumnya harus.

Dipetik daripada MAJALAH SOLUSI ISU 30, oleh Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang.

Monday 4 April 2011

DOA UNTUK MENGUSIR SYAITAN DAN GANGGUANNYA


(i) Memohon perlindungan dengan Allah dari gangguan syaitan.

(ii) Melaungkan azan.

(iii) Membaca zikir dari hadis-hadis Nabi dan membaca Al-Quran.